Bekas perunding pendawaian elektrik dan isterinya, yang sebelum ini dijatuhi hukuman mati kerana membunuh pembantu rumah mereka dari Indonesia, terlepas daripada hukuman mati apabila Mahkamah Persekutuan hari ini meminda pertuduhan daripada membunuh kepada membunuh tanpa niat.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin kemudian menjatuhi hukuman penjara 20 tahun terhadap Fong Kong Meng, 62, dan isterinya, Teoh Ching Yen, 60.

Dalam keputusan sebulat suara, Zulkefli, yang mendengar rayuan itu bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah, Datuk Seri Balia Yusof Wahi dan Tan Sri Aziah Ali memerintahkan hukuman bermula daripada tarikh pasangan itu direman pada 5 Jun 2011.

Panel hakim berkenaan membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan suami isteri berkenaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam mengenakan hukuman mati terhadap mereka.

Pasangan suami isteri itu didapati bersalah kerana membunuh Isti Komariah, 26, di rumah beralamat No. 90, Jalan SS 2/6, Sea Park, Petaling Jaya dekat sini antara 14 Mei 2010 dan 5 Jun 2011.

Zulkefli berkata setelah menimbang hujah daripada peguam dan timbalan pendakwa raya, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kesnya berhubung pembunuhan.

"Kami dapati keterangan dalam kes ini terletak di bawah Seksyen 304(a)," kata Zulkefli.

Ketika merayu agar hukuman diringankan, peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata kedua-dua perayu sudah direman selama hampir tujuh tahun bermula 5 Jun 2011 dan Teoh kini menghidap barah payudara.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hamzah Ismail meminta mahkamah mengenakan hukuman pencegahan memandangkan mangsa telah menderita kebuluran kerana pasangan berkenaan tidak memberinya makanan sebelum dia meninggal dunia.

"Dalam kes ini, hukuman penjara maksimum ialah 30 tahun, maka saya memohon 25 tahun untuk kedua-dua perayu," katanya.

Menjawab soalan Zulkefli sama ada beliau memohon hukuman sama dikenakan, walaupun wanita berkenaan menghidap barah, Mohd Hamzah menjawab, "pihak penjara boleh membawanya ke hospital".

"Mahkamah mendapati hukuman sewajarnya dalam kes ini ialah 20 tahun bagi setiap perayu," kata Zulkefli.

Terdahulu, dalam penghujahannya, Sri Ram berkata anak guam beliau tidak menyebabkan kematian mangsa kerana mereka memberi makanan kepada pembantu rumah itu dan si mati mempunyai akses kepada makanan.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili dua perayu itu berkata mangsa mencatat dalam buku notanya, "majikan saya baik, tetapi saya yang kurang, kalau saya buat jengkel, tapi masih sabar".

Mohd Hamzah membalas dengan berkata mangsa dinafikan makanan dan dituduh pasangan itu mencuri biskut serta sup dari rumah mereka.

Katanya, berat badan mangsa menurun kepada 26kg ketika meninggal dunia daripada 49kg ketika dia mula bekerja dengan pasangan itu.

Pada 6 Mac 2014, Mahkamah Tinggi mendapati mangsa meninggal dunia akibat kebuluran berikutan kegagalan pasangan berkenaan memberinya makanan dan rawatan perubatan.

Perbicaran kes ini bermula pada 30 Julai 2012 serta melibatkan 16 saksi pendakwa dan enam saksi pembela.

-- BERNAMA