Penyebaran berita mengenai kes jenayah seksual menggunakan minyak dagu dan dadah di pulau peranginan di Terengganu yang tular di media sosial adalah tidak berasas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata pihaknya sudah mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani kes berkenaan.

Menurutnya, sejak tiga tahun lalu, hanya dua kes dilaporkan dengan satu kes rogol di Pulau Perhentian dan cabul di Pulau Kapas.

“Kes sangat terpencil, tidaklah sebagaimana digembar-gemburkan.

“Tidak seperti berita yang tular itu. Pakai minyak dagu, minum Sprite, pakai dadah supaya mangsa tak sedar diri,” katanya lagi.

Polis akan mengesan dalang di sebalik penyebaran berita berkenaan dipercayai bertujuan mensabotaj kempen Visit Beautiful Terengganu 2017.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Idris Abdullah meminta pihak terbabit membuat laporan polis sekiranya ia benar berlaku.

“Kalau betul benda ini berlaku, buat laporan polis, jangan pula ditularkan. Kita boleh terus buat siasatan,” tambahnya.

Idris berkata demikan pada sidang media selepas sambutan Peringatan Hari Polis ke-210 Peringkat Kontinjen Terengganu, di Kuala Terengganu.