Tiada sebarang asas untuk membuat dakwaan bahawa Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, akan mengakibatkan insiden pencemaran seperti di Sungai Kim Kim, di Pasir Gudang, untuk berlaku di sini, kata Pengurus Besar Keselamatan Radiologi LAMP Prof Dr Ismail Bahari.

Selain itu, katanya, tidak adil juga untuk menyamakan Lynas dengan pelaku di sebalik insiden Sungai Kim Kim kerana Lynas beroperasi di bawah pemerhatian pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai.

"Lynas dipantau sejak hari pertama kami beroperasi dan sehingga hari ini, tiada satu insiden pun yang menimbulkan cemas seperti yang berlaku di Sungai Kim Kim. Kami mematuhi peraturan seperti yang sepatutnya.

"Kami ada bukti, fakta dan data yang boleh diperoleh orang ramai, oleh itu, perbandingan tidak boleh dibuat antara kedua-dua (operasi) ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, kumpulan anti Lynas, Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) turut mengadakan sidang akhbar untuk membangkitkan kebimbangan mereka berhubung kemungkinan rizab bakau Sungai Balok, yang terletak di dalam daerah yang sama dengan LAMP, akan dicemari sisa buangan daripada Lynas.

Antara lain, SMSL mempersoalkan tentang kos untuk membersihkan pencemaran dan sisa buangan Lynas, jika kos untuk membersihkan Sungai Kim Kim itu sendiri mencecah berjuta-juta ringgit.

Ismail, pemegang ijazah Doktor Falsafah dari Colorado State University, turut menegaskan tidak adil bagi pihak lain untuk menyalahkan Lynas berhubung laporan jawatankuasa semakan eksekutif tentang penemuan logam berat di dalam air di bawah tanah.

"Jawatankuasa eksekutif tidak menuding jari kepada Lynas. Apa yang sebenarnya mereka syorkan (dalam laporan itu) adalah supaya ia disiasat. Terdapat banyak aktiviti yang dijalankan di sekitar kilang Lynas sejak 2015 dan seterusnya.

"Sudah tentulah kami mengalu-alukan sebuah badan bebas untuk menjalankan siasatan kerana jika segala-galanya kami yang lakukan, ada sesetengah pihak yang akan menuduh kami sebagai berat sebelah. Mereka yang ada bukti untuk menunjukkan kami sebagai puncanya perlu tampil ke hadapan," katanya.

Ismail juga berharap orang ramai akan berfikiran lebih terbuka dalam isu berkaitan Lynas dan mencari bukti dan data saintifik, bukan hanya dipengaruhi pendapat yang tidak berasas.

Beliau berkata jawatankuasa semakan dalam laporan terkini mereka yang dikemukakan kepada kerajaan pada akhir 2018, turut mempunyai 'nada positif sama' dengan jawatankuasa pertama yang ditubuhkan pada 2012.

"Jawatankuasa semakan eksekutif ditubuhkan di bawah pentadbiran dua kerajaan (Barisan Nasional dan Pakatan Harapan). Mereka dilantik oleh menteri dan terdiri daripada pakar dalam pelbagai bidang.

"Mereka membuat kesimpulan yang Lynas tidak mempunyai suara untuk campur tangan. Kesimpulan itu dibuat berdasarkan data dan bukti, juga bukan merupakan sesuatu yang Lynas punya kuasa untuk wujudkan," katanya.