Peguam, Mohd Haniff Khatri Abdulla enggan menjawab mengenai hasil siasatan polis berhubung peguam pemaju One City Development Sdn Bhd mengupah kumpulan untuk menguruskan perpindahan tapak kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.

Beliau yang mewakili syarikat pemaju itu dalam isu kekecohan kuil berkata, biar perkara itu diputuskan mahkamah sama ada benar atau tidak.

“Soalan itu merujuk kepada apa yang berlaku dan menjadi subjek kepada perkara yang menjadi bahan dalam siasatan polis.

“Saya tak berhak untuk komen dan nyatakan kesahihan atau membangkitkan isu yang disentuh kementerian berkenaan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Petaling Jaya hari ini.

BACA: 'Kami bukan peguam perusuh kuil' - Mohd Haniff

Bagaimanapun beliau mengulangi kenyataanya berhubung kenyataan yang dikeluarkan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tegasnya, tidak ada pengamal undang-undang persendirian di antara tiga kakitangan One City yang mempunyai hubung kait dengan kekecohan di kuil tersebut.

Beliau berkata tidak boleh mendedahkan identiti pegawai syarikat pemaju itu bagi mengelakkan konflik dan salah faham berlaku.

“Tetapi saya boleh sahkan salah seorang daripada mereka mempunyai kelayakan undang-undang, tetapi orang itu tidak lagi mempratikkannya apabila bekerja di syarikat itu,” jelas Mohd Haniff.

Muhyiddin dalam kenyataanya semalam berkata, pemaju One City mengupah 50 lelaki untuk menceroboh, mengambil alih serta mengawal kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada Isnin lalu.

Katanya, kumpulan tersebut diberi upah RM150,000 dengan setiap seorang menerima antara RM150 dan RM300.