Tiada sebarang tangkapan dilakukan polis sehingga kini susulan dakwaan provokasi terhadap konvoi aktivis Bersih 5 di Lumut, Perak oleh penyokong Baju Merah.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata pihaknya juga masih belum menerima sebarang laporan berhubung perkara itu.

"Kita tidak menerima apa-apa laporan lagi berhubung kejadian tersebut dan belum ada sebarang tangkapan dibuat hingga masa kini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Tambahnya, pada ketika ini konvoi tersebut berjalan lancar dengan kawalan pihak keselamatan.

Memetik laporan portal berita Free Malaysia Today (FMT), Exco Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) Ivy Josiah berkata masalah bermula selepas pelancaran konvoi itu di Lumut.

Ivy berkata ketika pelancaran konvoi Lumut, polis bertindak mengasingkan penyokong Baju Merah dan aktivis Bersih.

Bagaimanapun, beliau mendakwa provokasi bermula apabila penyokong Baju Merah mengejar kira-kira 12 kenderaan membawa bendera Bersih yang berada dalam barisan konvoi.

Kira-kira 40 penyokong Baju Merah yang menunggang motosikal dan memandu kereta menyasarkan kereta dalam barisan konvoi, menjerit ke arah mereka dan menarik bendera yang menyaluti kenderaan berkenaan.

Konvoi Bersih 5 di seluruh negara bermula hari ini di beberapa lokasi.