Datuk Seri Najib Razak berkata beliau langsung tidak tahu mengenai tindakan seorang pegawai kerajaan yang dikatakan menghantar surat kepada Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA).

Bekas perdana menteri itu berkata, jika ia melibatkan komunikasi antara satu agensi perisikan dengan yang lain, ia lazimnya tidak didedahkan kepada umum.

"Surat ini dibuat oleh perisik. Bukan dasar kita untuk dedahkan surat-surat macam ini.

"Ini adalah antara satu agensi dengan agensi lain," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum ini, laporan polis dibuat terhadap bekas ketua pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Hasanah Abd Hamid yang dilaporkan menulis surat kepada CIA untuk meminta bantuan sokongan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei lalu.

Tindakan itu dianggap Persatuan Patriots Kebangsaan (Patriots) sebagai mampu menggugat keselamatan dan kedaulatan negara.

Surat tiga halaman bertarikh 4 Mei itu dikatakan ditandatangani Hasanah dan diutuskan kepada Gina Haspel selaku Pengarah CIA (Lantikan) ketika itu, lima hari sebelum PRU14.

Menerusi surat terbabit, Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) yang beroperasi di sebalik Bahagian Penyelidikan JPM meminta Amerika terus menyokong pentadbiran Najib jika Barisan Nasional menang mudah atau hanya meraih majoriti satu kerusi dalam PRU-14.

Sementara itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menggesa supaya satu siasatan teliti dilakukan kerana ia melibatkan hal kedaulatan negara.

"Ini menimbulkan banyak persoalan. Bagaimana surat ini boleh dikeluarkan atas arahan? Dan bolehkah pegawai tulis surat tanpa arahan orang atas?

"Ia isu yang patut disiasat dengan teliti kerana melibatkan kedaulatan negara. Sebab itu saya harap siasatan menyeluruh dilakukan," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.