AirAsia hari ini menafikan dakwaan syarikat itu mempunyai hutang tertunggak dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), sepertimana dakwaan Pengerusi Tourism Malaysia Wee Choo Keong.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Berhad Aireen Omar dalam satu kenyataan berkata, tuduhan itu “tidak benar sama sekali.”

Katanya, AirAsia selama ini membayar caj perkhidmatan penumpang (PSC) secara konsisten kepada MAHB.

“Kami menganggap kenyataan terkini oleh Wee sebagai bertujuan untuk mencederakan lagi reputasi AirAsia susulan kenyataan awal beliau yang kini tertakluk kepada litigasi fitnah,” kata Aireen.

Beliau turut berkata, tindakan Wee terpesong dari tugasan sebenar beliau yang bertanggungjawab mempromosi industri pelancongan di Malaysia.

“Tumpuan beliau sepatutnya ialah kepada publisiti untuk Malaysia dan menarik kedatangan pelancong, bukan menyerang sebuah syarikat penerbangan tersenarai awam yang telah menyumbang kepada kejayaan pelancongan Malaysia,” katanya.

Terdahulu hari ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai telah menuntut penjelasan daripada Wee yang didakwa mengarahkan bunting AirAsia dibuang dari Ekspo Pelancongan Antarabangsa ke-4 China (Beijing) 2016 minggu lalu.

Liow merujuk kepada laporan yang mendakwa Wee “mengamuk” apabila melihat bunting AirAsia diletakkan bersama bahan-bahan promosi lain di gerai Tourism Malaysia dan mengarahkan ia dibuang.

Perkara itu turut dipersoalkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes menerusi laman Facebook beliau, mendakwa Wee telah 'menyeksa' syarikatnya selama bertahun-tahun.

Bagaimanapun, Wee dilaporkan oleh Malay Mail Online hari ini menafikan bertindak demikian, mengatakan beliau tidak akan membenarkan sentimen peribadinya masuk campur dalam urusan professional.

Wee sebelum ini menuduh syarikat penerbangan tambang murah terbesar di Asia itu berhutang RM50 juta dalam bentuk cukai lapangan terbang kepada MAHB.

Pada Julai tahun lepas, AirAsia memfailkan saman fitnah terhadap Wee kerana mendakwa beliau menulis artikel berunsur fitnah dan merendah-rendahkan tahap kemampuan AirAsia di blognya.