Polis akan mengambil keterangan bapa saudara dan nenek William Yau Zhen Zhong berhubung dakwaan mereka bahawa kanak-kanak lelaki itu pernah didera ibu bapanya sebelum dia hilang dan ditemui mati Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata keterangan itu akan diambil daripada kedua-dua individu itu, yang kini berada di Melaka, dalam masa terdekat.

Beliau memberitahu sidang berita di Kolej Universiti Sunway dekat sini, polis juga akan mengambil kenyataan lanjut daripada ibu bapa dan abang William yang berumur tujuh tahun, bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Katanya siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, termasuk aspek kecuaian dan penderaan.

"Kita sedang berbincang dengan pakar psikologi kanak-kanak Bukit Aman untuk mengambil sekali lagi keterangan abang William," katanya.