Blogger terkenal Datuk A. Kadir Jasin berkata kontroversi laporan The Wall Street Journal (WSJ) minggu lepas yang melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, merupakan ujian tekanan ke atas badan kehakiman negara.

"Kita mungkin boleh anggapkan ini adalah "Stress Test" untuk sistem yang sedia ada sama ada prinsip 'Nobody is above the law' (tiada siapa mengatasi undang-undang) benar-benar berfungsi di negara (kita)," tulis beliau dalam blognya pada Rabu.

Katanya sejak zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra lagi berlaku kes pecah amanah, rasuah serta salah guna kuasa melibatkan orang kanan politik namun mereka akhirnya meletakkan jawatan.

Menurut Kadir, antara kes tersebut melibatkan bekas menteri kabinet Abdul Rahman Talib, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris, dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang merupakan contoh orang-orang yang berkuasa yang telah dibawa ke mahkamah.

Katanya Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mempunyai tugas yang jelas iaitu menangani dakwaan yang dibuat WSJ itu.

"Soalnya sekarang, adakah Abdul Gani bersungguh mahu menghadapkan pihak-pihak yang terlibat, termasuk Mohd Najib, ke muka pengadilan?" soal bekas ketua pengarang New Straits Times itu.

Beliau berkata Abdul Gani memikul tanggungjawab sangat berat kerana maklumat yang ada di tangan beliau, juga ada di tangan badan-badan penyiasat seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara.

"Selain itu, sebahagian maklumat dan dokumen berkaitan telah pun bocor dan jatuh ke tangan pihak ketiga, termasuk media massa asing," kata Kadir.

Mengulas mengenai penubuhan pasukan bertindak antara agensi yang kini mengkaji dakwaan salah guna dana berkaitan syarikat pembangunan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Kadir percaya pasukan itu berada pada kedudukan yang mampu mencari jawapan isu ini.

Beliau berkata, ini kerana pasukan bertindak itu boleh mengelak agensi-agensi terbabit daripada ditekan, dipujuk malah diperas ugut sekiranya mereka bertindak bersendirian.