Dalam usaha memfokuskan pelaksanaan teknologi 5G, kerajaan tidak akan mengabaikan usaha untuk membaik pulih dan menaik taraf teknologi terdahulu seperti 3G dan 4G, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Katanya, langkah-langkah menaiktaraf teknologi itu sudah terkandung dalam Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

“Kerajaan ambil pendekatan, walaupun kita perlu baik pulih, naik taraf 4G, tetapi pada masa yang sama, kita kena lihat kepada masa depan yang memerlukan kita bersedia untuk teknologi 5G.

“Melalui NFCP, kita akan bangun dan naik taraf 3G dan 4G secara serentak, untuk membolehkan kita membina satu ekosistem (yang komprehensif) untuk menghadapi cabaran di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Teh Kok Lim (PH-Taiping) yang ingin tahu perancangan kerajaan untuk melengkapkan rangkaian teknologi 4G di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Gobind berkata, Projek Demonstrasi 5G Malaysia akan dilaksanakan selama enam bulan bermula dari bulan ini sehingga Mac 2020 oleh lapan buah syarikat.

“Projek ini bertujuan untuk memudah cara, membina dan memupuk pembangunan kes-kes penggunaan 5G (5G use cases), yang berpotensi di dalam persekitaran sebenar dan konteks yang lebih luas untuk mengembangkan ekosistem 5G.

“Kes-kes penggunaan 5G ini meliputi sembilan vertikal iaitu Bandar Pintar, Hiburan/Media, Pendidikan, Penjagaan Kesihatan Digital, Minyak dan Gas, Pembuatan dan Industri Pemprosesan, Pengangkutan Pintar, Pertanian dan Pelancongan,” katanya lagi.