KUALA LUMPUR:Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, mengesahkan bahawa seorang lelaki yang dipercayai perancang kes pembunuhan kejam di stesen minyak Taman Pelangi, Johor Bahru Disember tahun lepas ditangkap polis Thailand pagi tadi.

Menurutnya, PDRM akan bekerjasama bersama Polis Diraja Thailand (RTP) untuk membawa pulang suspek ke tanah air dalam masa terdekat ini.

Terdahulu, beberapa suspek dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan kejam seorang lelaki di stesen minyak di Taman Pelangi, Johor Bahru yang viral Disember tahun lepas, dikesan telah melarikan diri ke Thailand dan bersembunyi di negara jiran itu.


Dalam kejadian yang berlaku pada 17 Dis tahun lepas, seorang lelaki berusia 44 tahun ditikam dan dilanggar oleh sebuah kereta mewah BMW berwarna putih dalam kejadian yang berlaku di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, di bandar raya itu.

Mangsa yang sempat bergelut kemudian ditikam, dilanggar dan digilis sehingga mati.

Kejadian pembunuhan kejam itu turut dirakam oleh pelanggan stesen minyak itu dan menjadi viral di laman-laman sosial.

Polis menahan 14 orang untuk siasatan, dengan 11 daripada mereka telah pun dibebaskan manakala seorang yang masih ditahan polis merupakan suspek utama kes pembunuhan yang menggemparkan seluruh negara itu.

BACA: Kes tikam, langgar: Suspek umur 22 tahun disambung reman

BACA: Kes tikam, gilis: Polis jumpa BMW putih