Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yakin dalang sebenar tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine tiga tahun lepas akan diheret ke muka pengadilan.

Katanya, ia berdasarkan usaha penyiasatan yang masih giat dijalankan Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) secara terperinci dengan mengumpul maklumat daripada pelbagai sumber sehingga dapat membawa kepada penemuan pihak yang bertanggungjawab terhadap peristiwa hitam itu.

“Ketika ini lebih 200 orang saksi telah disoal siasat, dan menyemak semua laman web termasuk Facebook dan Twitter, dan lebih daripada satu billion mesej telah dikumpulkan.

“Kita juga membina semula struktur pesawat tersebut daripada serpihan dan bahagian yang ditemui untuk menganalisa kesan serangan peluru berpandu BUK, Semuanya dijalankan dengan begitu terperinci sekali,” jelasnya selepas menghadiri majlis memperingati tiga tahun insiden tragedi MH17 di Hotel Marriot di sini hari ini.


Majlis tertutup itu dihadiri lebih 90 orang daripada kira-kira 43 keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas pada 17 Julai 2014 itu.

Kata Liow, beliau menjangkakan penyiasatan akan berakhir hujung tahun ini atau awal tahun depan sebelum proses perbicaraan dapat dimulakan di Belanda sepertimana dipersetujui JIT.