Damaikan tuntutan politik baharu dan keresahan politik lama

Damaikan tuntutan politik baharu dan keresahan politik lama
Kerajaan Pakatan Harapan akan terus menyusun tekad, menggembeleng matlamat untuk menjayakan sebuah corak pentadbiran yang lebih mampan, lancar dan saksama.
SEBAGAI kerajaan baharu, perubahan ke arah politik baharu tidak hanya boleh melalui proses di peringkat wacana semata-mata.

Pertembungan antara budaya dan amalan politik lama dan baharu memerlukan ruang idea dan pandangan untuk bersama-sama melakukan anjakan paradigma dalam membina sebuah negara bangsa.

Kumpulan yang mahukan politik baharu melihat, inilah kesempatan yang harus dimanfaatkan dengan segera.
Pada hemat saya, adalah naif untuk berfikiran demikian.

Apabila mempertimbangkan senario politik Malaysia, adalah mustahil untuk kita melihat politik lama lenyap begitu sahaja dan digantikan dengan politik baru yang berdasarkan nilai demokrasi dan hak sivil semata-mata.

Hal ini kerana harapan terhadap politik baharu ini juga menimbulkan keresahan pada satu pihak lain yang merasakan budaya politik naungan selama ini menjadi pelindung kepada identiti politik mereka.

Wacana politik baharu ini jelas semenjak 20 tahun terakhir dan kemuncaknya pada pilihanraya umum ke-14 yang lalu apabila Malaysia buat pertama kalinya menyaksikan perubahan kerajaan di peringkat pusat dan juga di Johor.

Proses membangunkan bangsa terutamanya dalam konteks Malaysia yang majmuk memerlukan dua agenda penting, iaitu fasa pendemokrasian dan pendamaian di antara tuntutan politik baharu dengan keresahan politik lama.

Manakala wacana dan perbincangan adalah landasan terbaik untuk para pemikir dan masyarakat bersatu padu membangunkan masa depan rakyat Malaysia secara am dan khususnya kepada orang Melayu.

Walau apa rintangan yang datang, kita kerajaan Pakatan Harapan akan terus menyusun tekad, menggembeleng matlamat untuk menjayakan sebuah corak pentadbiran yang lebih mampan, lancar dan saksama.



* Datuk Osman Sapian merupakan Menteri Besar Johor, Pengerusi Pakatan Harapan Johor dan juga Pengerusi PPBM Johor

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI