Dana Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) yang diuruskan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan saiz dana 10 bilion unit merupakan dana berharga tetap RM1 seunit dibuka kepada bumiputera berumur seawal enam bulan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia merupakan sebahagian daripada Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang menyasarkan penyertaan daripada golongan muda.

"Saya juga ingin memaklum insentif kepada pemegang unit ASB2 bermula hari ini sehingga 31 Disember 2014, sebanyak 10 unit ASB2 percuma akan dikreditkan ke akaun pemegang unit.

"Selain itu, tetamu pada majlis ini yang mendaftar sebagai pemegang unit ASB2 akan diberikan baucar bernilai RM50 bagi tujuan pembelian unit ASB2,''katanya.

Najib berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran di perkarangan Stadium Merdeka di sini.

ASB2 merupakan tabung jenis pendapatan kategori aset campuran dengan jumlah pelaburan permulaan dan juga pelaburan tambahan minimum adalah 10 unit.

Ia sekali gus sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memperkasa ekonomi masyakat bumiputera dan disasarkan kepada golongan bumiputera terutamanya golongan menengah dan juga Gen Y yang berumur antara 19 sehingga 34 tahun selain kumpulan pemegang-pemegang unit asb yang mencapai had pelaburan maksimum 200 ribu unit.

Katanya, pelancaran ASB2 membuka peluang kepada para pelabur untuk meningkatkan pelaburan dana-dana unit amanah PNB bagi mencapai matlamat perancangan kewangan masing-masing.

Had langganan maksimum telah ditetapkan pada 50 ribu unit bagi setiap pemegang akaun bijak dan 200 ribu unit bagi setiap pemegang akaun dewasa.

Sementara itu, Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dalam ucapannya berkata, setelah 36 tahun, PNB berjaya menggembleng 184.86 bilion unit saham yang dimiliki 11.81 juta pemegang akaun.

"89 peratus daripadannya adalah terdiri daripada bumiputera dan 11 peratus bukan bumiputera.

"Pelaburan mereka menghasilkan dana bernilai 267.8 bilion, bersamaan 16 peratus permodalan pasaran negara,'' ujarnya.

Jelasnya, PNB juga telah mengagihkan pendapatan kompetetif kepada pelaburnya pada purata 6.4 sehingga 7.7 peratus dan jumlah keseluruhan dividen serta bonus yang diagihkan berjumlah RM116 bilion

ASB2 dibuka untuk langganan mulai 2 April di pejabat ASNB seluruh negara serta ejen-ejen ASNB seperti Maybank, CIMB Bank,RHB Bank dan Pos Malaysia.