Dana Rumah Mampu Milik Bank Negara Malaysia (BNM) disasarkan memberi peluang lebih luas kepada golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah pertama.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, dana itu diwujudkan oleh BNM untuk membantu mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah dibawah RM2,300 sebulan.

"Ramai yang mahu membeli rumah tetapi gagal mendapatkan pinjaman bank. Inilah masalah yang saya hadapi semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Banyak rumah yang dibina tetapi tiada pembeli kerana mereka gagal mendapatkan pinjaman.

"Ia disebabkan institusi bank yang memberikan pinjaman. Mereka (pemohon) gagal mematuhi syarat pinjaman, jadi kita menyeru agar pihak bank melonggarkan syarat pinjaman. Begitupun, kita tahu Bank Negara mempunyai garis panduan," katanya.

Guan Eng berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran Dana Rumah Mampu Milik BNM dan Portal Rumahku di Sasana Kijang di sini, pada Selasa.

Turut hadir Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Dana Rumah Mampu Milik BNM merupakan dana berjumlah RM1 bilion di mana warganegara Malaysia yang mempunyai isi pendapatan rumah tidak lebih dari RM2,300 dan tiada rekod pembayaran terjejas untuk tempoh 12 bulan kebelakang, layak memohon untuk membeli kediaman yang berharga RM150,000 ke bawah.

Kadar faedah maksimum ditetapkan pada 3.5 peratus setahun untuk tempoh pembiayaan 40 tahun atau sehingga berumur 70 tahun, yang mana terdahulu.

Permohonan dibuka mulai 2 Jan lalu selama tempoh dua tahun atau sehingga peruntukan habis digunakan.

"Saya difahamkan dana ini sudah ada 16 permohonan dan lima telah diluluskan manakala 11 sedang diproses. Ini satu perkembangan yang baik kerana sudah ada permohonan walaupun ia belum dihebohkan.

"Target sasaran sampai RM1 bilion, sampai habis bajet," tambah Guan Eng.

Bagi Portal Rumahku pula, ia merupakan satu modul pendidikan kewangan dalam talian yang ringkas dan mudah di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Dalam perkembangan lain, Guan Eng memberitahu, beliau tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) buat masa ini atas nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed selepas mengadakan perjumpaan dengan beliau pada pagi Selasa.