Tutup

Dana SEDIC: Bekas menteri, dua bekas timbalan menteri disiasat

Dana SEDIC: Bekas menteri, dua bekas timbalan menteri disiasat
Sebelum ini, Waytha berkata dana yang sepatutnya disalurkan menerusi rangka tindakan (blueprint) projek-projek pembangunan masyarakat India tidak sampai kepada golongan sasar. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seorang bekas menteri dan dua bekas timbalan menteri sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN) didakwa menerima dana langsung kerajaan kepada kaum India.
 
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waythamoorthy tidak menamakan individu-individu didakwa menerima dana Unit Pembangunan Ekonomi Masyarakat India (SEDIC).
 
Jelasnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat perkara ini yang menjadi punca dana tersebut tidak sampai kepada golongan sasar.
 
“Terdapat rungutan berasas bahawa dana yang dikemukakan semasa pemerintahan kerajaan BN tidak sampai kepada golongan sasar. Apa yang kita dapati tiada apa-apa dana diberikan kepada parti politik MIC.
 
“Bagaimanapun, seperti saya kata bahawa terdapat salah laku dalam penyampaian dana-dana tersebut apabila sejumlah dana telah disampaikan terus kepada seorang mantan menteri dan dua mantan timbalan menteri,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
 
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan S.N. Rayer (PH-Jelutong) yang bertanyakan sama ada dana SEDIC tersebut telah disalurkan kepada pihak-pihak tertentu serta parti-parti politik termasuk MIC.
 
Sebelum ini, Waytha berkata dana yang sepatutnya disalurkan menerusi rangka tindakan (blueprint) projek-projek pembangunan masyarakat India tidak sampai kepada golongan sasar.
 
Justeru, beliau telah mengarahkan Jabatan Audit Negara membuat audit sepenuhnya bagi mencari kebenaran tentang berapa jumlah sebenarnya yang sampai kepada rakyat.

Sebelum ini, Datuk Seri Najib Razak ketika menggalas jawatan Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM50 juta kepada Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India yang dikendalikan SEDIC, RM50 juta untuk pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan peruntukan RM50 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan serta baik pulih sekolah-sekolah Tamil.
 


Tag: Najib Razak, Barisan Nasional, MIC, Dewan Rakyat, SPRM, ekonomi, Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, rasuah, politik, P Waythamoorthy, SEDIC, Unit Pembangunan Ekonomi Masyarakat India



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.