Kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang berdepan pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia di mahkamah hanya akan diketahui selepas DAP mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, pemimpin kebangsaan parti itu sudah menyampaikan pandangan mereka kepada pemimpin DAP Perak berhubung isu berkenaan.

Jesteru katanya, semua pihak diharap dapat bersabar dan menunggu kenyataan tersebut.

“Perkara ini pemimpin kebangsaan telah sampaikan pandangan kepada pemimpin negeri perak dan saya percaya kenyataan akan dikeluarkan, maka tunggulah kenyataan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Karnival Merdeka dan Komuniti Bagan sempena Bulan Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Sungai Puyu, di Butterworth pada Ahad.



Pada Jumaat, Paul Yong yang juga exco kerajaan negeri Perak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan merogol seorang wanita warga Indonesia yang merupakan pembantu rumahnya Julai lalu.

Ekoran pertuduhan itu, pelbagai pihak termasuk Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menasihatkan beliau supaya bercuti daripada tugas rasmi sebagai exco kerajaan negeri.