Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng terkejut dengan tindakan Pas yang menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang lulus di Dewan Rakyat semalam.

Beliau pada masa sama mempersoalkan pendirian Pas ketika ini seolah-olah sebahagian daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Saya terkejut Pas boleh sokong RUU ini. Kita jangka dia akan tentang, tak sangka mereka sokong, itu yang kita terkejut.

"Adakah (Pas) ini parti pembangkang atau pemerintah? Dia dah jadi sebahagian BN ke untuk sokong undang-undang yang cabuli hak asasi manusia?

"Itu kita rasa terkejut," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan RUU Antiberita Tidak Benar 2018 yang bertujuan mengekang penyebaran berita palsu dan mewujudkan langkah-langkah pencegahan.

Rang undang-undang itu diluluskan menerusi suara majoriti di peringkat jawatankuasa dengan pindaan pada Fasal 4 bagi menggantikan perkataan 'diketahui' dengan perkataan 'niat jahat' serta pengurangan hukuman penjara dari 10 tahun kepada enam tahun pada Fasal 5.

Sebelum itu, Dewan Rakyat meluluskan bacaan kedua RUU berkenaan dengan 123 undi menyokong dan 64 menolak.

Kesemua 11 anggota parlimen Pas yang hadir semalam menyokong RUU berkenaan kecuali Nasrudin Hassan (Pas-Temerloh) serta Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) yang tiada ketika sesi Dewan Rakyat semalam.