Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) mendakwa DAP mengugut syarikat-syarikat pemasaran pelbagai tingkat (MLM) jika enggan menyalurkan derma kepada parti itu.

Ketua Biro Pemantauan Salah Guna Kuasa dan Hal Ehwal Kaum Cina PMSP, Tony Tan berkata pihaknya menerima aduan daripada beberapa syarikat yang didakwa menjadi mangsa DAP.

Katanya, modus operandi DAP adalah dengan menawarkan perkhidmatan sekiranya syarikat-syarikat itu diganggu pihak berkuasa.

"Peguam-peguam hebat mereka (DAP) mampu membela dan mempertahankan syarikat tersebut sama ada yang ada lesen ataupun tidak.

"Jika syarikat berkenaan enggan bekerjasama atau membantu DAP, mereka akan menggunakan Red Bean Army (RBA) untuk menyerang dan memalukan syarikat berkenaan di media sosial termasuk media pro-pembangkang tempatan," katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Dakwanya, syarikat terbaharu yang menjadi mangsa DAP adalah Monspace, sebuah syarikat MLM milik anak tempatan.

Bagaimanapun, Tony enggan mengemukakan senarai penuh syarikat yang menjadi mangsa DAP apabila diminta media.