Ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak di Tahun 1 diminta mendapatkan imunisasi anak masing-masing di fasiliti kesihatan berhampiran apabila menerima jadual janji temu perkhidmatan itu melalui pihak sekolah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Nor Hisham Abdullah, berkata dalam tempoh negara kini menghadapi wabak COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), penyampaian perkhidmatan imunisasi di sekolah tidak dapat dijalankan seperti biasa kerana sesi persekolahan masih belum bermula.

Justeru perkhidmatan imunisasi kepada murid sekolah terbabit kini boleh didapati di Klinik Kesihatan berdekatan.

Perkhidmatan imunisasi sekolah merupakan salah satu perkhidmatan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada murid di sekolah dalam usaha untuk mencegah penularan penyakit berjangkit.

“Imunisasi adalah merupakan satu cara yang paling berkesan dalam menangani kejadian penyakit berjangkit dalam kalangan kanak-kanak,” menurut Datuk Dr Noor Hisham dalam kenyataan itu.

“KKM ingin memaklumkan bahawa perkhidmatan imunisasi kepada murid sekolah masih lagi diteruskan dan semasa tempoh penutupan sekolah pada tahun 2020, di mana perkhidmatan imunisasi ini akan diberikan di fasiliti kesihatan kerajaan seperti Klinik Kesihatan atau Klinik Kesihatan Ibu dan Anak atau Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan.

“Ini akan melibatkan pemberian imunisasi mencegah penyakit demam campak (Measles), Rubella, Difteria dan kancing gigi (Tetanus) untuk murid tahun satu, imunisasi Human Papillomavirus (HPV) bagi murid perempuan tingkatan satu dan imunisasi ATT (dos tambahan vaksin Tetanus) bagi murid tingkatan tiga,” kata Datuk Dr Noor Hisham lagi.

“Pada tahun 2020, keutamaan diberikan kepada pemberian imunisasi untuk murid Tahun Satu,” katanya lagi.

Selain itu, ibu bapa atau penjaga juga diminta membawa anak-anak yang berada dalam Tahun Satu untuk mendapatkan imunisasi di fasiliti kesihatan berhampiran sebaik sahaja menerima jadual temu janji perkhidmatan imunisasi melalui pihak sekolah.

“Untuk tujuan ini, KKM juga telah mendapatkan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membantu dalam menyelaras pemakluman kepada ibu bapa atau penjaga mengenai perkhidmatan imunisasi ini.

“Dalam keadaan di mana Malaysia sedang dalam usaha membendung penularan jangkitan COVID-19, ibu bapa khususnya dan masyarakat amnya diseru untuk bersama-sama KKM dan memainkan peranan masing-masing dalam usaha mencegah penyakit berjangkit,” kata Ketua Pengarah Kesihatan itu lagi.