Kertas dasar mengenai Rahmatan lil Alamin sebagai dasar pentadbiran Islam baharu negara akan dibentangkan kepada Kabinet esok, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah dimaklumkan mengenai dasar itu dan baginda menyatakan perkenan terhadap langkah kerajaan mempromosikan budaya kerja melalui pendekatan baharu itu.

"Dasar ini juga telah dipersetujui oleh Mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang memberi perkenan terhadap dasar baharu ini," katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) yang mahukan penjelasan tentang tindakan yang dilakukan kerajaan dalam rangka mengangkat agenda Rahmatan Lil Alamin dalam pentabiran Islam di negara ini.

BACA: Dasar Rahmatan Lil Alamin dijangka dilancar tahun hadapan - Mujahid

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Abdullah Sani tentang langkah kerajaan untuk rakyat memahami dasar itu, Mujahid berkata, sesi penerangan telah dilakukan di beberapa negeri antaranya Melaka, Perak, Selangor, Kedah selain program Rahmah peringkat negeri dilancarkan di Kelantan, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan serta Perak.

Selain itu, katanya, sesi libat urus dengan pelbagai kementerian juga diadakan bagi menjelaskan rangka dasar berkenaan serta telah mengadakan pertemuan dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menjelaskan dasar tersebut.

Menurutnya, beliau akan membentangkan dasar tersebut di Universiti Cambridge, United Kingdom, bulan depan bagi menjelaskan betapa dasar Rahmatan lil Alamin itu bersifat progresif, inklusif dan sangat rapat dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

-- BERNAMA