Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar didesak untuk tidak hanya menafikan malah segera menyaman media yang menuduhnya terlibat dengan pembelian data mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada bekas kakitangan PetroSaudi International (PetroSaudi), Xavier Andre Justo.

Exco Pemuda UMNO, Ibdilillah Ishak berkata, penafian juga tidak cukup untuk membuktikan Nurul Izzah tidak bersalah dan 'lari' daripada tuduhan berkenaan.

"Rupanya dia sendiri terpalit dengan dakwaan menawarkan kontrak kepada Justo. Jika benar dakwaan Justo berhubung cubaan Nurul Izzah mahu membeli maklumat curi tersebut dengan menawarkan kontrak sekiranya berjaya menawan Putrajaya, maka dia adalah seorang perasuah.

"Sungguh hipokrit. Nurul Izzah perlu segera menyaman portal berita atau agensi media yang terlibat dalam tuduhan itu. Penafian tidak mencukupi kerana ini tuduhan yang amat berat," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Pada Selasa, Nurul Izzah didakwa pernah menyatakan minat untuk membeli data mengenai 1MDB daripada Justo.

Menurut laporan akhbar The New Straits Times (NST) dan Berita Harian (BH), ia merupakan pendedahan Justo dalam pengakuan bertulis yang dibuat atas kehendaknya sendiri.

Akhbar-akhbar itu melaporkan bahawa Nurul Izzah pernah menawar untuk membayar Justo dalam bentuk kontrak, tetapi Justo tidak menerima tawaran itu kerana mahukan bayaran tunai berjumlah US$2 juta (RM8.62 juta).

Justo dilapor berkata editor Sarawak Report, Clare Recastle-Brown ialah orang tengah di dalam urusan di antara Nurul Izzah dan dirinya.

Pada Isnin, NST melaporkan bahawa perbualan Rewcastle-Brown dengan beberapa individu melalui aplikasi WhatsApp membuktikan wujud konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia.

Menurut sumber yang rapat dengan pihak berkuasa Thailand, perbualan itu berlangsung selama tiga bulan dan mengaitkan pembabitan Rewcastle-Brown, Tong, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ho Kay Tat dan Justo.

Perbualan di WhatsApp itu juga dikatakan membuktikan bahawa Rewcastle-Brown mempunyai hubungan rapat dengan Anwar, Pua dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, The Edge dalam reaksinya berkata, pihaknya tiada sebarang kaitan dengan usaha menjatuhkan kerajaan atau cuba mengubah bukti berkaitan 1MDB.