Kumpulan Datasonic Berhad hari ini menyumbangkan sebanyak RM1 juta kepada Tabung Harapan Malaysia (Tabung Harapan).

Sumbangan disampaikan Pengerusinya Tan Sri Mohamed Hashim Mohd Ali kepada Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada satu majlis di Ibu Pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Setakat jam 3 petang semalam, kutipan Tabung Harapan telah mencecah lebih RM133 juta selepas hampir sebulan dilancarkan.

Penubuhan tabung itu membolehkan kementerian berkenaan menguruskan sumbangan ikhlas rakyat dengan cara yang lebih sistematik dan telus.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata sumbangan derma yang disalurkan kepada Tabung Harapan akan hanya digunakan untuk membayar hutang kerajaan.