Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana kekhilafannya sehingga dikompaun RM1,000 susulan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Katanya, sebagai Menteri, beliau bertanggungjawab dan akur kepada peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Merujuk kepada kenyataan media oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dalam isu SOP PKPP hari ini, saya dengan ini memohon jutaan kemaafan kepada seluruh rakyat Malaysia atas kekhilafan yang berlaku. Sebagai Menteri, saya bertanggungjawab untuk akur kepada peraturan dan SOP sepanjang tempoh PKPP," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Justeru katanya, beliau memutuskan untuk memulangkan semua gajinya sebagai Menteri bagi Mei hingga Ogos 2020 kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung COVID-19).

"Sebagai menzahirkan rasa bertanggungjawab itu, saya juga dengan ini akan memulangkan semua gaji saya sebagai Menteri untuk Mei hingga Ogos 2020 sebagai sumbangan kepada Tabung COVID-19 di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Gaji Mac dan April 2020 juga telah disumbangkan sebelum ini ke Tabung tersebut sebagaimana keputusan Kabinet sebelum ini," ujarnya lagi.

Beliau juga berjanji akan terus bekerja keras dan melipatgandakan lagi segala usaha dan tenaga untuk melaksanakan tugasan amanah sebagai Menteri bagi memastikan semua rakyat yang terlibat di bidang perladangan dan komoditi, khususnya lebih sejuta pekebun kecil B40 sentiasa mendapat manfaat dan terbela kebajikan mereka.