Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak hari ini mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn.

Mesyuarat yang bermula pada kira-kira pukul 3.30 petang itu dijangka membincangkan isu utama usul persempadanan semula kawasan pilihan raya dan hal-hal berkaitan parti.

Antara yang hadir, Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Penerangan, Tan Sri Annuar Musa, Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri, Datuk Mas Ermieyati.

Semalam, Barisan Nasional bermesyuarat berhubung isu persempadanan semula kawasan pilihan raya dan isu itu dijangka turut akan diperinci dalam mesyuarat hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mula mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah selama sebulan sehingga 14 Oktober ini.

Sebelum ini, Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah berkata, pihaknya menyangkal dakwaan bahawa kajian itu dibuat untuk kepentingan pihak tertentu.

Tegasnya, pihaknya telah menjalankan peranan dan tanggungjawabnya sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.