Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan tampil dengan garis panduan baharu yang lebih kemas dan teratur berhubung isu pelesenan penjualan minuman alkohol pada bulan hadapan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, buat masa ini Ahli Lembaga Pelesenan telah dilantik yang dijangka bersidang bagi membincangkan garis panduan berkenaan.

“Sejak kebelakangan ini, timbul kebimbangan orang ramai berkaitan peristiwa meragut nyawa melibatkan pemandu mabuk dan wujud beberapa cadangan untuk kaji semula soal pelesenan, waktu jualan, dan sebagainya.

“DBKL berpendapat lesen-lesen baharu tidak dikeluarkan selagi penelitian dan penambaikan sedang dibuat demi kepentingan awam.

“Lembaga Pelesenan telah dilantik dan dijangka bersidang bulan hadapan dan diharapkan akan ada garis panduan baharu yang lebih kemas dan teratur agar tidak berlaku peristiwa yang saya maksudkan,” katanya ketika menjawab pertanyaan Wong Hon Wai (PH - Bukit Bendera), ketika sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Setakat ini, DBKL telah membuat keputusan agar tidak mengeluarkan sebarang lesen baharu bagi penjualan alkohol melibatkan kawasan Wilayah Persekutan Kuala Lumpur apabila melihat kepada kadar kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk.