Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang untuk memperluaskan rangkaian perkhidmatan bas percuma GoKL di kawasan tumpuan awam termasuk kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata penelitian mendapati penduduk kawasan PPR di sekitar bandar raya itu memerlukan perkhidmatan bas percuma berkenaan.

"Menerusi peruntukan RM20 juta dalam Belanjawan 2019, ia antaranya akan digunakan bagi tujuan memperluaskan rangkaian perkhidmatan GoKL, khususnya menjadikan kemudahan ini sebagai bas pengantara kemudahan rel.

"Cadangan ini dalam fasa penelitian, sebelum pengumuman lanjut mengenainya dibuat dalam tempoh terdekat," katanya pada pemberita selepas melancarkan Pameran Harta Tanah Bumiputera 2018 (BPEX2018) di Pusat Konvensyen Mid Valley, pada Sabtu.

Nor Hisham berkata, cadangan lain yang kini dalam pertimbangan menerusi peruntukan itu ialah mewujudkan laluan khas kenderaan pengangkutan awam, sebagai usaha penyuraian trafik di sekitar ibu negara.

Turut hadir, Azmi Pengarah Eksekutif Perancangan DBKL Datuk Mahadi Che Ngah dan Pengarah Urusan Medi-Mesra Care Management (MMC) Sdn. Bhd Datuk Nor'ashikin Taib.

Pameran tiga hari, mulai Jumaat lalu membabitkan 38 pemaju perumahan yang menawarkan 3,000 unit hartanah dalam lingkungan harga antara RM250,000 hingga RM3 juta.

Pada pembentangan Belanjawan 2019 pada Jumaat, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, mengumumkan peruntukan RM20 juta menerusi DBKL untuk menaik taraf perkhidmatan bas percuma GoKL.

Terdahulu, Nor Hisham dalam ucaptama pelancaran menegaskan syarat 30 peratus kuota Bumiputera akan terus dikekalkan bagi projek perumahan yang mengemukakan permohonan mendapatkan perintah pembangunan.

Dalam pada itu, mengulas perkembangan projek Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), Nor Hisham berkata, pangkalan maklumat DBKL merekodkan 51,903 unit kediaman berkenaan telah dan akan dibina di Kuala Lumpur.

"Ia membabitkan 24,423 unit dalam pembinaan dan 20,558 unit yang akan dibangunkan serta mendapat kelulusan pembinaan," katanya.

-- BERNAMA