Sebanyak 105 notis kompaun atas pelbagai kesalahan dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap pengusaha premis perniagaan di sebuah kompleks beli belah terkenal di Cheras dalam operasi pada Jumaat.

Operasi itu disertai Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar; Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja serta Jabatan Penguatkuasaan DBKL.

Jurucakap DBKL dalam kenyataannya di sini, berkata antara kesalahan pengusaha premis yang dikesan dalam operasi itu ialah tidak memiliki lesen premis dan iklan, tidak menggunakan produk biodegradasi dan cara penyimpanan makanan tidak sesuai.

“Pengusaha premis perniagaan terbabit telah diberikan teguran dan amaran oleh pegawai DBKL supaya mempamerkan lesen premis di ruang yang mudah dilihat, membuat permohonan iklan serta menggunakan produk biodegradasi.

DBKL jalankan operasi pemeriksaan di premis perniagaan di sebuah pusat beli belah terkenal di Cheras. Gambar ihsan DBKL.

“Selain itu, peniaga yang tiada lesen perniagaan turut diarahkan membuat permohonan lesen dengan segera.

“DBKL turut mengingatkan peniaga supaya sentiasa mematuhi syarat penggunaan produk biodegradasi dan larangan penggunaan straw plastik,” katanya.

DBKL jalankan pemeriksaan terhadap peniaga di sebuah kompleks beli belah terkenal di Cheras. Gambar ihsan DBKL.