Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenal pasti sebanyak 353 kawasan bersejarah di pusat bandar untuk dijadikan tarikan baharu pelancongan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata kawasan tersebut merupakan bangunan dan tapak yang dijadikan 'spot' dalam jajaran pejalan kaki Jejak Warisan Kuala Lumpur.

"Antaranya adalah Panggung Bandaraya yang terletak di hadapan Dataran Merdeka yang bakal dibuka semula pada 1 Ogos ini," katanya ketika tinjauan projek tersebut di sini hari ini.

Nor Hisham berkata selain memulihara warisan sejarah di ibu kota, inisiatif itu juga bertujuan merancakkan semula pelancongan domestik yang terjejas susulan COVID-19.

Jelasnya, fasa pertama laluan tersebut sejauh 1.5 kilometer, melibatkan 17 kawasan di Lebuh Ampang telah selesai proses pengumpulan cerita sejarah dan menjadi projek perintis dinamakan 'KL Dulu, Jejak Warisan KL'.



"Contohnya, di Masjid Jamek dahulunya terdapat sebuah masjid lain berdekatan yang telah wujud pada 1870-an dikenali Masjid Java Street, tak ramai yang tahu dengan sejarah ini dan inilah yang cuba kita kongsikan kepada pelancong.

"Untuk bangunan yang sudah tiada atau telah berganti bangunan lain, kita akan letak batu penanda lengkap dengan maklumat sejarah berkaitan," katanya.

Nor Hisham berkata pihaknya mengambil masa lapan bulan untuk mengumpulkan maklumat sejarah tersebut menerusi bengkel melibatkan 17 kumpulan kecil serta temu bual dengan pemilik dan waris bangunan.

"DBKL juga mengalukan-alukan sebarang kerjasama daripada mana-mana pihak untuk tampil dan berkongsi tentang sejarah tapak atau bangunan mereka bagi menambah baik maklumat ini.

"Pada masa sama kita juga memohon kerjasama pemilik bangunan agar menjaga premis masing-masing dan menyalurkan maklumat jika terdapat aktiviti vandalisme yang boleh menjejaskan imej laluan pelancong," katanya.

Berkenaan kemungkinan wujud bangunan terbiar di sepanjang jajaran itu, Nor Hisham berkata DBKL bersedia untuk melakukan kerja baik pulih dan pembersihan namun kos tersebut akan ditanggung oleh pemilik.

-- BERNAMA