Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini memulakan Operasi Keselamatan Makanan 2018 di semua bazar Ramadan di sekitar ibu negara bagi memastikan semua produk makanan yang dijual menepati piawaian terutamanya dalam aspek kebersihan.

Datuk Bandar DBKL, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz, berkata operasi penguatkuasaan sanitasi gerai dan pengambilan sampel makanan dilihat sebagai satu langkah berkesan dalam memberi peringatan kepada penjaja agar lebih peka sekali gus meletakkan aspek kebersihan di tahap yang tertinggi.

"Pada tahun 2017, sebanyak 3,643 gerai bazar Ramadan diperiksa yang meliputi 109 tapak. Daripada 674 sampel makanan yang diambil, sebanyak 244 sampel atau 36.2 peratus didapati tercemar.

"Sebanyak 86 notis kompaun dikeluarkan kepada penjaja terlibat dan telah disenaraihitamkan oleh Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja," katanya pada Majlis Pelancaran Operasi Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2018, di Tapak Arca, Taman Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Eksekutif (Pengurusan) DBKL, Datuk Mustafa Mohd Nor.

Beliau berkata antara standard kebersihan yang ditetapkan oleh Unit Keselamatan Makanan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL ialah peniaga perlu mendapatkan suntikan antitifoid, memakai apron, sarung tangan dan topi semasa menjual makanan serta menyediakan penyepit untuk mengambil makanan.

"Matlamat akhir adalah untuk memastikan semua makanan yang dijual selamat dan bersih untuk dimakan serta tidak dicemari kuman," katanya. -- Bernama