Pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengambil inisiatif membangunkan sebuah aplikasi bagi membantu para peniaga bazar Gawai Dayak dan Ramadan di negeri itu.

Inisiatif diambil susulan pengumuman Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengenai pembatalan bazar Gawai Dayak dan Ramadan di Sarawak untuk edisi tahun ini pada Ahad susulan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.

BACA: Bazar Ramadan dan bazar Gawai Dayak di Sarawak dibatalkan

Aplikasi yang akan dibangunkan ini akan dikenali sebagai Helpy Service.

Menurut Pengarah DBKU, Dr Morshidi Ahmad aplikasi ini bakal membolehkan para peniaga menjalankan perkhidmatan penghantaran makanan dan menerima tempahan secara atas talian.

“Inisiatif ini diambil bagi membantu para peniaga serta penjaja yang terjejas akibat pembatalan ini dan mereka perlu mendaftar dengan Helpy Service,” katanya yang ditemui selepas operasi nyah cemar tempat awam dan rumah-rumah ibadat dibawah pentadbiran DBKU pada Isnin.

Antara lain, pihak DBKU juga akan menghubungi para peniaga untuk mengenalpasti kaedah yang bersesuaian dengan produk mereka.

“Jadi kita akan membantu mereka kerana walaupun bazar ditutup, mereka tetap boleh lagi melakukan perniagaan secara atas talian dan hantar terus kepada pelanggan," tambahnya.