KUALA LUMPUR:Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melahirkan rasa tidak puas hati dengan tahap penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu rakyat yang bercampur dengan bahasa Inggeris.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran berkata ia dapat dilihat terutama dalam konteks rasmi termasuk ketika ucapan dan semasa diwawancara.

"Kita tekankan penggunaan bahasa Melayu dalam situasi rasmi, dalam ucapan, surat menyurat dan emel rasmi kerajaan.

"Dalam konteks itu, bahasa Melayu perlu digunakan dengan baik.

"Masalahnya di Malaysia, kalau kita perhatikan secara amnya, masyarakat kita tidak lagi mencapai satu tahap penggunaan bahasa yang baik, bukan sahaja bahasa Melayu tapi juga bahasa Inggeris," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Abang Salehuddin sebelum ini juga pernah berkata, kecintaan terhadap bahasa masing-masing mampu mengekalkan kewujudan bahasa itu untuk tempoh yang panjang tanpa menganggap penyebaran bahasa lain, terutama bahasa Melayu sebagai bahasa yang ‘menggugat’ identiti mereka.

Ujarnya, tidak menjadi kesalahan bagi sesuatu kaum di negara ini untuk berasa bangga dan mengagungkan budaya azali mereka, namun pada masa sama, perlu bersikap adil dengan tidak meminggirkan penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian.

Jelasnya, sudah tiba masa masyarakat melahirkan keyakinan penuh terhadap bahasa Melayu untuk mendidik anak bangsa, selain mengutamakan peranannya untuk menyatupadukan berbilang kaum dan etnik di negara ini.

Sementara itu, Pakar Bahasa, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim menjelaskan masyarakat seolah-olah tidak berbangga dengan bahasa Melayu berbanding rakyat beberapa negara asing.

"Di negara kita kelihatan ada semacam kurangnya rasa ingin berbahasa kebangsaan dan banyaknya megah dengan bahasa Inggeris.

"Orang Melayu sendiri semua menggunakan bahasa Inggeris di tempat tidak sepatutnya dan dalam soal memilih istilah, menamakan sesuatu projek, program dan bangunan, kebanyakan pemimpin kita, politik dan masyarakat semua (memilih) ke bahasa Inggeris.

"Banyaknya penggunaan bahasa Inggeris, seolah-olah tidak ada bahasa kebangsaan atau seorang-olah dia tidak menguasai bahasa kebangsaan sendiri," ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Nik Safiah tidak menafikan kepentingan bahasa Inggeris namun tidak perlu mengenepikan bahasa Melayu.

Katanya, kedudukan bahasa Melayu perlu diletakkan di tempat sepatutnya kerana statusnya sebagai bahasa kebangsaan.

"Ini kita dapat kesan, dia (rakyat) memperjuangkan bahasa Inggeris dan mengetepikan bahasa kebangsaan sendiri. Ini tidak salah, kita perjuangkan bahasa Inggeris, tetapi kita perjuang lebih lagi untuk kedudukan dan kepentingan bahasa kebangsaan sendiri.

"Sikap itu tidak kena, saya rasa salah faham, ini termasuk kerajaan juga, pucuk pimpinan politik terutamanya tidak kelihatan memperjuangkan bahasa Melayu.

"Saya lihat hanya di Parlimen sahaja dia cakap bahasa Melayu, sepatah dua kata Inggeris dia minta maaf tetapi dalam situasi lain, dalam ucapan, dalam mesyuarat, pucuk pimpinan politik dan masyarakat, pegawai-pegawai dan sebagainya mementingkan bahasa Inggeris," katanya.

Usaha meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 (Semakan 1978, Pindaan dan Peluasan 1995) untuk memperkasa penggunaan bahasa Melayu di negara ini sudah dilakukan sebelum ini.

Selain itu, kursus-kursus tertentu untuk penutur-penutur atau pengguna bahasa Melayu turut dianjurkan bagi memastikan penggunaan bahasa yang baik dalam surat menyurat, mesyuarat dan ucapan.