Pengerusi 'Warga Untuk Tata Kelola Pemerintahan Bertanggungjawab' (CAGM), Md Zainal Abidin dinasihat untuk memberi bantuan dalam siasatan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada menawarkan habuan sehingga RM1 juta kepada mana-mana pihak yang boleh mendedahkan harta Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, pendedahan bekas perdana menteri itu dalam krisis 1MDB menjadi antara faktor CAGM 'diupah' pihak berkenaan untuk mengalihkan tumpuan masyarakat dalam isu berkenaan.

"Siapa dia Md Zainal yang bersungguh-sungguh untuk mencemarkan imej Dr Mahathir? Adakah dia ini menjadi barua sesiapa?

"Saya sarankan NGO yang baru sebulan ditubuhkan ini untuk membuat kerja lain yang lebih berfaedah.
Jangan cuba alihkan pandangan serta tumpuan pada isu penyelewangan dana 1MDB. Mungkin CAGM boleh buktikan dahulu jumlah 2,000 ahli mereka.

"Semua jelak melihat kerenah Md Zainal yang nampak menjadi orang suruhan kepada pihak tertentu. Saya cabar Md Zainal ini untuk siasat kes penyelewangan 1MDB terlebih dahulu kerana ini adalah isu negara yang paling hangat diperkatakan rakyat," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Siapa dia Md Zainal yang bersungguh-sungguh untuk mencemarkan imej Dr Mahathir? Adakah dia ini menjadi barua sesiapa?

BACA: NGO baru tawar habuan RM1juta untuk dedah harta Tun M

Pada Sabtu, sebuah portal melaporkan, CAGM menawarkan RM1 juta kepada mana-mana pihak yang berani tampil ke depan memberi maklumat mengenai harta tersembunyi dan wang tunai yang dimiliki Dr Mahathir.

Md Zainal berkata, pihaknya akan merahsiakan identiti pemberi maklumat berkenaan selain menetapkan syarat maklumat yang diberikan mestilah sahih, mempunyai nilai yang besar serta mempunyai bukti yang boleh digunakan oleh agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang untuk mendapatkan semula kekayaan ini tersembunyi itu.

BACA: Kabinet perlu tahu setiap butir perkara mengenai 1MDB - Shafie

Sementara itu kata Khairuddin, Md Zainal kini perlu menumpukan penyelewengan 1MDB yang jelas sudah mempunyai laporan polis selain menyiasat beberapa pemimpin tertinggi negara yang terlibat dalam isu berkenaan.

BACA: 'Saya tegur sebab Najib banyak buat silap' - Tun M

"Saya hendak minta polis siasat NGO ini dan Md Zainal sendiri di mana mereka mendapat sumber kewangan yang begitu banyak sedangkan baharu menubuhkan NGO ini sebulan yang lalu.

"Sebelum ini Senator Ezam Mohd Noor semasa di dalam PKR pernah menyatakan dia pernah ada 10 kotak bukti rasuah Dr Mahathir namun ia hanya satu penipuan, mungkin Md Zainal hendak jadi seperti itu," jelasnya.

BACA: Tun Mahathir perjelas 'kekeliruan' tentang 1MDB

Tegas Khairuddin lagi, niat Md Zainal yang bersungguh-sungguh mahu memalukan Dr Mahathir juga menimbulkan persoalan yang harus dijawab NGO itu sendiri.

"NGO ini tiada sebarang maklumat salah laku Dr Mahathir tetapi sanggup tawarkan RM1 juta kepada mana-mana pihak yang boleh memberi matlumat tentang kekayaan bekas perdana menteri itu.

"Kalau tidak ada maklumat, lebih baik duduk diam-diam. Kami lawan kemungkaran 1MDB berdasarkan maklumat dan fakta yang bersebab dan kukuh,

"Isu untuk cuba mengaitkan Dr Mahathir yang mengumpul kekayaan luar biasa merupakan satu perkara yang sia-sia kerana sejak 22 tahun menjadi perdana menteri, tiada siapa dapat membuktikannya termasuk parti-parti pembangkang," ujarnya.

BACA: Siasatan PAC akan lebih agresif jika Arul Kanda, Shahrol menipu - Nur Jazlan

Sebuah portal hari ini melaporkan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang turut mempersoalkan jangka masa CAGM yang baru ditubuhkan untuk menawarkan ganjaran RM1 juta kepada mereka yang sanggup mendedahkan kekayaan tersembunyi Dr Mahathir.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, tawaran yang dilakukan pada ketika Dr Mahathir sedang menyerang Najib itu turut dilihat tidak mempunyai kredibiliti selain hanya mahu mengalihkan tumpuan masyarakat terhadap isu 1MDB.

BACA: 1MDB: 'Kenapa PAC berkompromi dengan Arul Kanda?' - Khairuddin

Sebelum ini, Khairuddin menyifatkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dilihat sengaja berkompromi dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dengan membenarkan beliau menangguhkan prosiding siasatan sehingga satu bulan.

Tegas Khairuddin, penangguhan itu sekali gus menjadikan kelewatan prosiding siasatan dan menimbulkan persoalan rakyat sendiri.