Kawasan Kampung Bongor yang sudah ditenggelami banjir tidak mematahkan semangat seorang bapa untuk berulang alik menggunakan bot sejauh 10 kilomter bagi memastikan anaknya dapat ke sekolah.

Mohd Nor Isa, 55, berkata, dia terpaksa menggunakan bot untuk ke jalan utama selepas laluan di kampungnya dinaiki air sejak dua hari lalu ekoran limpahan air Sungai Golok akibat hujan lebat.

"Walau apa jua keadaan, saya akan tetap memastikan anak tidak ketinggalan dalam pelajaran.

"Lagipun dia akan menduduki Sijil Tinggi Persekolah Malaysia (STPM) tidak lama lagi," katanya.

Menurutnya, dia amat menitik beratkan soal pelajaran anak-anak bagi memastikan mereka mencapai kejayaan pada masa hadapan.

Dia berkata, anaknya, Umi Mohd Nor, 18, kini sedang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim 2, Pasir Mas yang terletak 35 kilometer dari rumahnya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati selain Bongor, Kampung Lachang, Jejawi, Tasik Bakong dan beberapa kawasan berhampiran Sungai Golok sudah mula dinaiki air.