Masyarakat perlu melihat idealisme dan gerakan pelajar yang ditubuhkan di Malaysia ini bukan bertujuan untuk demonstrasi.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Dato’ Saifuddin Abdullah berkata demikian sewaktu menghadiri Forum Kebebasan Akademik & Masa Depan Mahasiswa semalam di Kompleks Pendidikan Islam Bangi.

Forum tersebut dikendalikan Ahli Parlimen Belia Malaysia Muhammad Fikri Ahmad sebagai moderator bersama empat panelis yang terdiri daripada Presiden IKRAM Siswa Marwan Abdullah, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Mohammad Fazril Mohd Saleh Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol, dan wakil Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) Mohd Imran Md Ishak.

siswa

Dari kiri Presiden PMUM Fahmi Zainol, Presiden IKRAM Siswa Marwan Abdullah, Ahli Parlimen Belia Malaysia Muhammad Fikri Ahmad, Presiden PKPIM Mohammad Fazril Mohd Saleh, dan wakil GAMIS Mohd Imran Md Ishak. - Foto Astro AWANI

Beliau berkata semalam merupakan satu peristiwa penting untuk gerakan mahasiswa tempatan di mana Hari Mahasiswa Sedunia diraikan buat pertama kali di Malaysia.

“Saya sangat gembira mereka memilih kebebasan akademik sebagai tema forum ini. Ini adalah kerana jika kita lihat masyarakat kini melihat gerakan pelajar ini sebagai simbolik kepada demonstrasi dan protes.

“Jadi dengan tema forum ini ia dapat membantu orang ramai melihat idealisme pelajar dan gerakan pelajar bukan untuk demonstrasi. Gerakan pelajar adalah mengenai ilmu pengetahuan dan pendidikan. Mereka berdemonstrasi apabila mereka perlu,” tambah beliau.

Turut hadir forum ini adalah wakil daripada Malaysian Youth & Students Democratic Movements (DEMA) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Forum yang dihadiri kira-kira 300 pelajar ini dianjurkan sebagai kemuncak kepada Kempen Solidariti Mahasiswa Sedunia sempena Hari Mahasiswa Sedunia.

Pihak penganjur berkata 17 November setiap tahun telah disambut sebagai Hari Mahasiswa Sedunia semenjak tahun 1941.

Katanya dalam satu kenyataan media, tarikh ini adalah untuk memperingati peristiwa serbuan rejim Nazi Jerman terhadap University of Prague pada 17 November 1939.

Rejim Nazi ini telah menafikan kebebasan akademik mahasiswa dengan menutup universiti-universiti dan kolej-kolej di negara Czech, malah bertindak melampaui batas dengan membunuh sebilangan pelajar dan menghantar lebih kurang 1200 orang pelajar lagi ke kem-kem tahanan.