Sama seperti orang Islam yang memuliakan masjid atau penganut Kristian yang menghormati gereja mereka, Gunung Kinabalu juga wajib dihormati kerana ia merupakan tempat suci mengikut adat serta kepercayaan masyarakat tempatan khususnya Kadazan Dusun.

Tindakan keterlaluan sekumpulan warga asing yang mencemar kesucian Gunung Kinabalu dengan berbogel dan membuang air kecil ternyata telah mencetus pelbagai reaksi marah dari ketua-ketua masyarakat negeri itu, lapor Borneo Post.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Pairin Kitingan telah mengeluarkan kenyataan bahawa bencana gempa bumi yang berlaku baru-baru ini mempunyai kaitan dengan kelakuaj tidak senonoh warga asing tersebut.

Ketua Daerah Kota Kinabalu OKK William Majimbun, sama ada mahu percaya atau tidak dengan kata-kata Pairin, orang asing yang melawat Sabah dan Sarawak perlu menghormati adat budaya tempatan.

“Adat ini telah diwarisi dan diamalkan secara turun-temurun, sebab itulah sehingga sekarang kami masih menjalankan upacara khas buat semangat gunung ini demi keselamatan para pendaki,” katanya.

Ketua Daerah Penampang OKK Brayan Matasing pula mengulas, tindakan tidak senonoh warga asing tersebut telah melanggar adat Kadazan Dusun yang menganggap bahawa kawasan gunung itu adalah tempat suci.

“Mereka harus didenda mengikut peraturan ‘sogit’ iaitu denda melibatkan upacara korban haiwan seperti kerbau, ayam atau babi) diikuti dengan ritual menenangkan semangat dan roh-roh di gunung,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Amanah Taman-Taman Sabah Datuk Seri Tengku Zainal Adlin, berkata bahawaterdapat peraturan ketat dikenakan ke atas setiap orang yang mahu mendaki Gunung Kinabalu.

“Anda sebenarnya tidak dibenarkan untuk menjerit, apatah lagi membuang air dan berbogel. Kes ini adalah yang pertama seumpamanya berlaku dalam 50 tahun di taman kami.

“Tindakan mereka tidak boleh diterima kerana mereka tidak menghormati orang lain. Cuba bayangkan, kalau anda Kristian, adakah anda akan buang air kecil dalam gereja anda? Atau jika anda seorang Muslim, adakah anda akan berbogel dalam masjid?

“Dalam kes ini, mereka berbogel dan membuang air di Gunung KInabalu yang merupakan gunung suci bagi Kadazan Dusun,” ujarnya.

BACA: Pelancong bogel di Gunung Kinabalu dilarang tinggalkan Sabah

BACA: Pelancong dikaitkan dengan kumpulan bogel di Gunung Kinabalu ditahan polis

BACA: Dua wanita bogel di Gunung Kinabalu tunggu hukuman Mahkamah Pribumi Ranau