Polis tidak menolak kemungkinan punca kejadian kes bunuh seorang lelaki di Kampung Sembulan Lama malam Selasa adalah disebabkan dendam manakala suspek turut difahamkan mengalami gangguan emosi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra dalam kenyataan medianya menerusi laman rasmi Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu hari ini berkata, pihaknya bagaimanapun sedang melakukan siasatan menyeluruh bagi mengenalpasti punca sebenar kes berkenaan.

"Pihak polis menpercayai punca kejadian adalah kerana dendam.

"Kita masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti motif kejadian dan tidak menolak kemungkinan suspek mengalami gangguan emosi, " katanya dalam kenyataan itu.





Menurut sumber, polis juga tidak menolak kemungkinan suspek bertindak sedemikian selepas pinangannya terhadap anak perempuan mangsa ditolak keluarga mangsa seperti yang dilaporkan beberapa oleh media hari ini.

"Berdasarkan soal siasat terhadap suspek semalam, dia naik berang selepas mengesyaki ibunya disihir sehingga terlantar sakit.

"Bagaimanapun, menurut keluarga mangsa, suspek bertindak demikian selepas marah kerana pinangannya ditolak oleh keluarga mangsa, " katanya.

Terdahulu, dalam kejadian jam 6.30 petang Selasa, Abdul Razi Bahadum, 56, maut akibat ditikam suspek, 30, yang juga dipercayai anak saudara mangsa di perkarangan rumah berhampiran Kampung Sembulan Lama, di sini.

Pemeriksaan awal pada tubuh mangsa mendapati terdapat sekurang kurangnya 12 kesan tikaman.

BACA: Bunuh saudara sendiri angkara syaki ibu terkena sihir

Menurut kenyataan Chandra lagi, semakan rekod polis mendapati suspek pernah ditangkap dan disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana penyalahgunaan dadah.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.