Sebanyak 105 kes denggi direkodkan sejak Januari hingga 2 Mac lalu di Perlis, kata Pengarah Jabatan Kesihatan negeri (JKN) Dr Sirajuddin Hashim.

Beliau berkata 15 kawasan di Perlis terlibat dengan kes denggi dengan mukim Titi Tinggi merekodkan kes tertinggi dengan 24 kes diikuti Wang Bintong (16), Beseri (15) dan Sena (14).

Kes lain direkodkan di mukim Arau (sembilan), Kuala Perlis (tujuh), Kechor (enam), Utan Aji (empat), Sanglang (tiga), Seriab (dua) serta masing-masing satu kes di Chuping, Jejawi, Kayang, Kurung Anai dan Sungai Adam, katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dr Sirajuddin berkata Kampung Kota di mukim Kechor dan Kampung Kolam di mukim Titi Tinggi masih berada dalam status wabak dan keadaan di kedua-dua kampung itu terkawal, masing-masing dengan dua kes denggi dikesan.

Tiada kematian akibat wabak denggi setakat ini di Perlis.

-- BERNAMA