Tempoh reman dua beradik yang disyaki mendera pembantu rumah mereka hingga menyebabkan kematian pada Sabtu lalu dilanjutkan tujuh hari lagi bermula hari ini.

Perintah sambung reman ke atas suspek masing-masing lelaki dan perempuan berusia 36 dan 39 tahun itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Bukit Mertajam Nor Hapipah Abdullah selepas permohonan dikemukakan oleh pihak polis.

Permohonan polis dibuat selepas tempoh reman ke atas pasangan adik beradik itu sejak 11 Februari lalu berakhir hari ini.

Kedua-duanya direman bagi membantu siasatan kes dera di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, dua beradik itu tiba berpakaian lokap jingga dan ungu diiringi polis kira-kira jam 9.30 pagi.

Pada Selasa, ibu kepada dua beradik yang juga majikan kepada Adelina Lisao, 26 tahun, direman seminggu bagi membantu siasatan kes sama.

Pada Sabtu lepas, wanita dari Nusa Tenggara Indonesia itu berjaya diselamatkan polis selepas didakwa didera oleh majikannya.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia sehari kemudian ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam akibat kegagalan organ yang disebabkan oleh kekurangan darah.

Wanita itu ditemukan sedang duduk di kawasan luar pagar rumah majikannya oleh wartawan sebelum memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.

Mangsa juga dipercayai dipaksa majikannya tidur di luar rumah hanya beralaskan tikar dan ditemani anjing.

Susulan itu, polis telah menahan reman majikannya seorang wanita dan dua anaknya bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.