Sepasang suami isteri hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pasir Mas bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun.

Pendaftar Kanan Mahkamah Rendah Pasir Mas, Rashid Mustafa memerintahkan kedua-dua suspek menjalani tahanan reman selama empat hari bermula hari ini.

Kedua-dua suspek berkenaan iaitu ibu tiri mangsa berusia, 25 tahun dan bapa kandungnya, 39, ditahan di depan sebuah restoran di Kota Bharu jam 9 malam tadi.

BACA: Wanita didakwa dera anak tiri: Netizen wujudkan 'fan page'

Kedua-dua suspek sebelum ini dipercayai melarikan diri susulan kejadian yang berlaku pada 25 Jun lepas.

Sebelum ini, media melaporkan kanak-kanak tersebut, Nur Zuliana Zaara mengalami trauma akibat diperlakukan dengan kejam selepas menjadi mangsa dera ibu tirinya.

BACA: Polis Kelantan buru pasangan susulan kes dera kanak-kanak 5 tahun

Penderaan terhadap kanak-kanak malang itu diketahui apabila ibu kandungnya menemui kesan parut lama dan baharu, susut berat badan serta kecederaan lain.

Ibunya, Sana Abdul Malek, 28, menjelaskan wajah anaknya juga cengkung manakala seluruh badannya lebam dan dipenuhi parut selain kepalanya luka manakala belakangnya pula membongkok dipercayai akibat‎ patah tulang belakang, rusuk serta paha.

Kanak-kanak tersebut kini berada di wad kanak-kanak Hospital Raja Perempuan Zainab 11 (HRPZII) dan hari ini beliau dilaporkan akan menjalani pembedahan.

Sementara itu, kedua-dua suspek yang diwakili oleh peguam turut memohon mahkamah membebaskan tertuduh wanita dengan jaminan kerana tertuduh wanita menyusukan bayinya berusia 11 bulan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.