Majlis akikah yang sepatutnya berlangsung pada 3 Mei lepas bertukar menjadi majlis tahlil apabila seorang bayi berusia lapan bulan, Muhammad Ammar Qhyfarel Abdul Hafiz, maut dipercayai didera oleh keluarga angkatnya.

Menurut ibu saudara mangsa yang mahu dikenali sebagai Ila, segala persiapan telah dilakukan termasuk menyediakan sepasang persalinan jubah untuk bayi berkenaan.

Difahamkan, Muhammad Ammar ‘dipinjamkan’ kepada sepasang suami isteri yang juga keluarga angkat bayi malang itu sejak beberapa minggu lalu.

“Kami tidak niat untuk beri pada pasangan itu tapi mereka meyakinkan bahawa bayi itu akan ‘dijaga’ selama dua hari sahaja memandangkan ketika itu ibu Muhammad Ammar sedang sakit,” ujar Ila merujuk kepada keadaan ibu kandung bayi berkenaan yang sedang pulih dari rawatan pembedahan barah otak.

Ila mendakwa, ibu Muhammad Ammar mengenali pasangan berkenaan ketika kedua-dua mereka mendapatkan rawatan di hospital yang sama akibat penyakit barah tidak lama dahulu.

Bagaimanapun, pasangan berkenaan berdolak-dalik ketika Ila dan keluarganya meminta mereka memulangkan semula Muhammad Ammar sebelum tarikh majlis akikah yang dirancangkan.

“Kami sudah meminta Muhammad Ammar dipulangkan. Tiba-tiba dia kata mahu menjaganya sehingga 28 April kerana Muhammad Ammar perlu dibawa berjumpa doktor.

“Kami desak dia pulangkan sebelum 3 Mei sebab hendak buat kenduri akikah namun dia tidak juga kunjung tiba. Kami sudah beli semua jubah untuk dia lain jadinya,” ujar Ila kesal.

Ila hanya mengetahui kejadian sebenar yang menimpa anak saudaranya itu apabila pihak polis memaklumkan bahawa Muhammad Ammar meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Muhammad Ammar menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di HSB Alor Setar sebelum dirujuk dari Hospital Jitra dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat terkena sawan.

Pakar perubatan yang membuat pemeriksaan mendapati terdapat kesan-kesan lebam di beberapa bahagian badan dan dipercayai akibat didera.

Wakil Astro AWANI di Kedah cuba menjejaki keluarga kandung Ammar yang difahamkan tinggal di Taman Gunung Bongsu, Alor Setar namun rumah berkenaan didapati kosong tidak berpenghuni.

Menurut jiran, rumah terbabit kosong sejak beberapa hari lalu.