Timbalan Presiden MIC Datuk Seri SK Devamany akan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi mendapat perkenan untuk melepaskan jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang dipegang buat masa ini.

Beliau yang baru dilantik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini berkata beliau telah memaklumkan hasrat tersebut kepada pejabat Istana Iskandariah dan sedang menunggu waktu sesuai untuk menghadap Tuanku.

Katanya, beliau tidak boleh meletak jawatan sebagai seorang Speaker Dewan sesuka hati kerana pelantikan tersebut merupakan perkenan daripada Tuanku.

"Ini merupakan prosedur sahih yang perlu dihormati dan dipatuhi, walaupun saya sendiri sudah mengangkat sumpah sebagai Senator dan dilantik Timbalan Menteri, baru-baru ini," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan hari raya kepada golongan memerlukan di Masjid India Muslim di Sungai Siput pada petang Khamis.

Tambahnya, tindakan untuk melepaskan jawatan berkenaan adalah bertepatan dengan janjinya dahulu setelah memenangi jawatan Timbalan Presiden MIC, tahun lepas.

Bagaimanapun, Devamany berkata jawatan itu tidak dilepaskan serta merta kerana baginda bagaimanapun perkenan agar beliau terus menyandang jawatan Speaker hingga mendapat jawatan baharu di peringkat Pusat.

"Saya telah berjanji untuk kepaskan jawatan bila menang nanti. Kini saya akan tunaikan.

"Tetapi saya kena hormat kepada pihak yang telah merestui pelantikan saya sebagai speaker Dun Perak. Pertamanya, perkenan daripada Sultan Perak, restu daripada Menteri Besar serta barusan kepimpinan BN Perak," katanya lagi.

Devamany juga berharap jawatan Speaker DUN Perak dikekalkan kepada parti MIC sebagai menghargai sumbangan parti itu kepada kerajaan negeri khususnya dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar baru-baru ini.