Dewan Muslimat PAS Pusat pada Khamis telah mengekalkan status quo bagi ketiga-tiga pemimpin tertingginya dalam pemilihan sayap muslimat parti itu bagi sesi 2013 - 2015.

Penyandang Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Mohd Yusof berjaya mempertahankan jawatan tersebut menewaskan pencabarnya, Nuridah Salleh.

Anggota Parlimen Rantau Panjang itu menewaskan Nuridah dengan 468 undi, membolehkan beliau memegang jawatan Ketua Muslimat PAS bagi kali yang kedua.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS pula, Dr Siti Mariah juga telah berjaya mempertahankan jawatannya menewaskan Dr Najihatussalehah Ahmad.

Sementara bagi jawatan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS pula, jawatan tersebut turut berpihak kepada penyandangnya iaitu Mumtaz Mohd Nawi yang menewaskan Dr Rosni Adam.

Bagi ahli jawatankuasa kerja Dewan Muslimat PAS pula, mereka yang terpilih adalah:

1) Dr Halimah Ali
2) Khairiah Mohamed
3) Aida Yusof Rawa
4) Aiman Athirah Sabu
5) Dr Asiah Ali
6) Azizah Khatib Mat
7) Mastura Mohamad
8) Normala Sudirman
9) Kartini Ahmad
10) Siti Aishah Ghazali
11) Wan Hasrina Wan Hassan
12) Wan Ubaidah Omar

Basmatul Uyun Yusof dan Siti Norfathiah Daud pula dipilih sebagai pemeriksa kira-kira, manakala Norhashimah dipilih sebagai Pengerusi Tetap Muslimat PAS.

Jawatan Timbalan Pengerusi Tetap pula diberikan kepada Nor Azlin Md Samsudin berikutan tiada pertandingan bagi jawatan itu.

Seramai 660 perwakilan layak mengundi pada pemilihan pucuk pimpinan Dewan Muslimat PAS kali ini yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Negeri Selangor di Shah Alam.

Keputusan diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat, Asmuni Awi pada jam 10:00 malam.