Persidangan Dewan Negara, yang berlangsung selama 11 hari sejak 18 April lepas, ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Sepanjang Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ketiga Belas, Dewan Negara meluluskan lapan rang undang-undang iaitu empat rang undang-undang baharu dan empat pindaan akta.

Rang Undang-Undang baharu ialah Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2015) 2016, Rang Undang-Undang Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia 2016, Rang Undang-Undang Syarikat 2015 dan Rang Undang-Undang Skim Kepentingan 2015.

Empat pindaan akta pula melibatkan Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) (Pindaan) 2015, Rang Undang-Undang Profesion Undang-undang (Pindaan) 2015, Rang Undang-Undang Kanak-Kanak (Pindaan) 2015 dan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2016.

Dewan turut meluluskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad, yang mempengerusikan sidang itu buat pertama kali, turut merakamkan ucapan penghargaan kepada semua yang membantu melancarkan persidangan itu.