Mana-mana pihak tidak boleh menuding jari kepada sesiapa dalam isu kebocoran soalan kertas Ujian Peperiksan Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh menegaskan, walaupun ia disifatkan satu kes yang memalukan, semua perlu faham prosedur operasi standard (SOP) pengedaran kertas itu sendiri sebelum sampai kepada pelajar yang menduduki peperiksaan.

"Saya setuju ia memalukan, tetapi kita tidak mahu membuat sebarang tuduhan kerana ia di peringkat siasatan. Kalau kita lihat SOP kertas ini yang diletak di karung plastik dan karung guni untuk memastikannya selamat, jadi semua itu sedang kita siasat," katanya.

Idris menjawab soalan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN, Kalabakan) yang bertanya sama ada Kementerian akan mendedahkan kepada umum bagaimana kertas UPSR bocor dan tindakan yang diambil kepada mereka yang terlibat.

Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sebelum ini mengumumkan kebocoran melibatkan kertas peperiksaan bagi mata pelajaran Sains, Bahasa Inggeris, Matematik dan bahasa Tamil.

Idris turut meminta maaf kepada semua guru, ibu bapa dan murid yang terlibat selain berjanji akan membuat siasatan terperinci untuk memastikan ia tidak berulang lagi.

"Sehingga kini lebih 70 individu sudah disiasat PDRM, kementerian tidak akan berkompromi tanggungjawab hal ini dan mereka terlibat dan sabit salah akan dikenakan tindakan tatatertib," ujarnya.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan Lim Kit Siang (DAP, Gelang Patah) yang bertanya mengapa Kementerian Pendidikan mengambil masa yang lama untuk mengumumkan kebocoran kertas Matematik sebelum ini, Idris menjelaskan ia harus disahkan sebelum sebarang pengumuman dibuat.

Katanya, tiada sebarang kesimpulan boleh dibuat terutama isu yang melibatkan banyak pihak selain membuat keputusan yang benar-benar pasti sebelum sesuatu tindakan susulan diumumkan.