Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) digantung dua hari daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat kerana mengganggu perjalanan mesyuarat.

Keputusan itu dibuat Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon selepas beberapa kali memberi amaran kepada Tajuddin.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang dilihat menggangu perjalanan penggulungan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dengan mencelah tanpa kebenaran Speaker.

Kekecohan pada sesi penggulungan tersebut bermula saat Khalid bangun membahas isu tanah Kampong Baru dan ia berlanjutan hampir 20 minit.

Rashid yang berkali-kali memberi amaran, bagaimanapun bertindak menggantung Tajuddin daripada menghadiri mesyuarat selepas beliau terus mengingkari amaran.

Bagaimanapun, Rashid memberi laluan untuk Tajuddin kekal di dalam Dewan Rakyat selepas beliau tetap ingkar untuk keluar.

Rashid pada masa sama turut memberi amaran kepada Khalid yang dilihat ketawa kecil tatkala membuat penggulungan.

Tindakan Khalid itu menyebabkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang menganggap ia sebagai satu provokasi kekecohan.

“Ahli-ahli Yang Berhormat lain sila duduk. Senyap. Saya minta Menteri (Khalid) buat (penggulungan) secara lebih serius,” katanya.

Khalid juga berterusan diganggu Ahli Parlimen pembangkang sehingga beliau selesai melakukan penggulungan.