Lebih separuh pinjaman baharu yang dibuat kerajaan sepanjang tahun ini bertujuan membayar hutang sedia ada, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, dari Januari sehingga September 2018, jumlah hutang baharu negara adalah RM87.5 bilion, dan daripada jumlah itu sebanyak RM46.3 bilion digunakan untuk menampung hutang lama yang telah matang.

"Memang sebelum kerajaan bertukar tangan pun sememangnya ini berlaku dari semasa ke semasa apabila ada hutang yang telah matang, jadi untuk bayar balik hutang itu...kerajaan berhutang pada kadar lebih rendah untuk bayar hutang yang telah matang, ini memberi keuntungan kepada pihak kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas bagi Kementerian Kewangan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai celahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang mempersoal tindakan kerajaan menambah hutang untuk membayar hutang, Amiruddin berkata ia adalah amalan lazim dilaksanakan kerajaan untuk memastikan aliran tunai yang kukuh di samping mengekalkan defisit fiskal pada tahap yang ditetapkan.

"Dalam keadaan tertentu perkara ini berlaku sementara kerajaan mahu pastikan aliran tunai atau kemasukan dana baharu untuk digunakan bagi perbelanjaan mengurus dan membiayai program pembangunan," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa hutang yang dibuat pada tahun semasa merupakan hutang yang telah dirancang berdasarkan Bajet 2018 dan mengikut program pinjaman yang telah dirangka.

Jelasnya, 97 peratus daripada hutang kerajaan adalah pinjaman dalam negara manakala pinjaman luar negara hanya tiga peratus.

"(Pinjaman) dalam negara ini lebih terkawal, maksudnya kalau berlaku serangan ke atas ringgit ia tidak memberi kesan langsung kepada kemampuan kita untuk bayar balik (hutang)," katanya. -- Bernama