KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Pembekalan (Bajet) 2022 peringkat jawatankuasa, untuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Kelulusan itu diumumkan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang menjadi Timbalan Speaker sementara, dengan keputusan lebih suara dalam Dewan bersetuju dengan perbelanjaan RM622,025,400 untuk kementerian itu.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sewaktu menggulung RUU itu berkata, KBS melalui Majlis Sukan Negara telah melaksanakan Program Khas dikenali sebagai Projek AsiaComm sejak Februari 2021, khusus untuk persiapan atlet ke Sukan Asia Hangzhou 2022 dan Sukan Komanwel Birmingham 2022

“MSN bersama Institut Sukan Negara (ISN) dan Persatuan Sukan Kebangsaan telah pun menjalankan kajian secara terperinci bagi mengenal pasti sukan-sukan yang mampu menyumbang pingat dalam kedua-dua temasya tersebut. Sebanyak 16 jenis sukan dengan penglibatan 118 atlet dan 43 jurulatih diberikan tumpuan dalam Program AsiaComm kali ini.

“Program Latihan Khusus juga telah dirangka untuk setiap sukan bagi memastikan atlet-atlet sentiasa berada di tahap prestasi yang tinggi (peak performance) bagi mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.

Mengenai perkembangan terkini isu gangguan terhadap atlet, Ahmad Faizal berkata, Jawatankuasa Salah Laku Dan Perlindungan Dalam Sukan diwujudkan pada 2020, bagi memastikan pengurusan aduan berkaitan sukan prestasi tinggi negara dikendalikan dengan cekap, teratur dan berkesan.

Dengan kewujudan jawatankuasa tersebut, beliau berkata, KBS menyediakan ruang kepada semua atlet termasuklah jurulatih dan pegawai sukan untuk tampil ke hadapan bagi menyuarakan aduan, masalah dan pandangan pada bila-bila masa sahaja.

Selain itu, Ahmad Faizal turut menyebut mengenai saranan supaya pertubuhan belia diberi tempoh yang sesuai untuk melakukan transisi kepimpinan kepada mereka yang berumur bawah 30 tahun.

“Sebenarnya transisi ini akan berlaku menerusi Mesyuarat Agung Tahunan (Pemilihan) yang akan mengambil masa hingga tiga tahun selepas tarikh mula kuat kuasa Akta 668 (Pindaan) 2019.

“Sebagai contoh, sekiranya tarikh kuat kuasa pindaan bermula pada 1 Januari 2022 maka bagi pertubuhan belia yang mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (Pemilihan) tiga tahun sekali, maka transisi kepimpinan kepada bawah umur 30 tahun hanya akan berlaku sebelum Januari 2025,” kata beliau lagi.

Ahmad Faizal berkata, pertubuhan belia sememangnya mempunyai tempoh masa yang panjang sebelum mematuhi had umur baharu bagi ahli dan pemegang jawatan dalam pertubuhan belia di bawah pindaan ini.