Dewan Rakyat secara sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 atau Belanjawan 2020 di peringkat dasar hari ini.

Perkara tersebut diumumkan Yang DiPertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof selepas ia dibacakan dan diputuskan kali kedua melalui undian suara.

Sebelum itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng selaku kementerian bertanggungjawab, menggulung hujah-hujah ahli-ahli Parlimen yang membahaskan RUU tersebut selama 12 hari sejak 14 Oktober lalu.

“Kerajaan ingin teruskan usaha supaya Malaysia bukan sahaja sebuah negara yang makmur, malah aman dan tenteram di mana hak rakyat semua warganegara akan dihormati, tidak dipecah belah oleh sentimen-sentimen perkauman ataupun ekstremisme oleh pihak tertentu.

“Kita kena ingat, Malaysia adalah milik semua rakyat Malaysia. Tidak ada perbezaan, tidak ada diskriminasi. Tentu ada masalah yang kita terpaksa hadapi. Tapi hanya dengan kita bersatu padu, barulah kita boleh mencapai kemakmuran bersama,” katanya mengakhiri penggulungan di Dewan Rakyat.

Perbahasan di peringkat jawatankuasa bagi RUU ini akan bersambung semula di Dewan Rakyat pada Selasa.