Selepas hampir lima dekad, mahasiswa kini selangkah lagi untuk mencapai kebebasan melibatkan diri dalam politik di kampus selepas pindaan terhadap tiga akta berkaitan diluluskan Dewan Rakyat malam tadi.

Akta tersebut ialah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976.

Kesemua pindaan terhadap akta bertujuan menamatkan larangan ke atas penuntut institusi pengajian tinggi untuk terlibat dalam aktiviti parti politik di dalam kampus.

Menurut laporan Bernama, ia diluluskan sebulat suara selepas bacaan kali ketiga Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik bagi ketiga-tiga akta.

Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang AUKU (Pindaan) 2018, Maszlee menarik perhatian bahawa pindaan ini adalah langkah awal memansuhkan AUKU secara total.

Ia dijangka dapat direalisasikan pada tahun 2020, katanya di Dewan Rakyat.

"Kalau kita lihat, pindaan pada malam ini walaupun hanya satu seksyen, tetapi ia amat signifikan, kerana ia akan hapuskan budaya 'siege mentality' dan 'culture of fear' yang selama ini membelenggu mahasiswa.

"Pindaan pada malam ini akan beri satu isyarat jelas kepada mahasiswa bahawa mereka telah dilepaskan daripada rantai yang membelenggu mereka. Kini kebebasan jadi milik mereka," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kebebasan ini bagaimanapun datang dengan kebertanggungjawaban dan akauntabiliti.

Ia tegasnya, bukan sesuatu berbentuk anarkisme, sehingga mereka bebas daripada undang-undang.

"Di universiti sendiri mereka ada undang-undang dan peraturan, begitu juga mahasiswa terikat undang-undang di luar universiti sendiri," katanya.

Mengenai kerisauan beberapa ahli Parlimen bahawa kebebasan berpolitik ini akan menjejaskan pencapaian akademik mahasiswa, Maszlee berkata beliau akan memastikan ekosistem yang holistik dapat diwujudkan di universiti supaya ia menjadi medan intelektual.

Tambahnya, dengan kelulusan ini, mahasiswa bebas menjalankan aktiviti parti politik termasuk menjemput wakil politik ke dalam kampus serta menubuhkan kelab parti politik, dengan syarat, mendapat kebenaran naib canselor masing-masing.

"Bagaimanapun, saya yakin, bagi naib canselor dan pentadbir universiti, berdasarkan semangat Malaysia Baharu... mereka akan pertimbangkannya dan tidak akan halang," katanya.

Dengan kelulusan pindaan akta ini juga, menurutnya, kesemua pendakwaan yang masih berjalan di mahkamah atau kes tatatertib di universiti yang disabitkan dengan akta berkenaan akan dihentikan sebaik ia dikuatkuasakan.

Katanya, cadangan pindaan terhadap Akta AUKU, selain mekanisme untuk menghapuskan akta berkenaan secara total, diperhalusi satu jawatankuasa teknikal terdiri daripada pakar akademik dan perundangan yang dilantik kementerian.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung hari ini.